Salam fikrah.
Budaya masyarakat Islam Melayu telah melazimi i’badah itu sebagai amal kebajikan yang khusus seperti solat, puasa, berzikir dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Ibadah bukan hanya sekadar itu sahaja sebenarnya, ianya lebih luas lagi. Rangkuman skop ibadah yang kecil ini(menurut masyarakat umum Islam Melayu) menyebabkan kebanyakan muslim di negara ini merasakan ibadah itu adalah sesuatu yang ‘berat’ untuk dilaksanakan.
Ibadah sebenarnya boleh menjadi suatu amalan "2 in 1", yakni ia mampu mendatangkan keseronokan dan pahala pada masa yang sama. Betapa bagusnya jika ramai orang menyedari hakikat ini. Kini timbul satu persoalan, ibadah memang benar jika dikatakan mendatangkan pahala, tapi bagaimana pula ia boleh mendatangkan keseronokan?
Diulang sekali lagi, skop ibadah dalam Islam adalah luas. Segala amalan jika ia diniatkan kerana Allah, halal berdasarkan syariat Islam, dan mempunyai manfaat yang jelas adalah merupakan ibadah. Itu sahaja sudah cukup. Mudah kan?
Perhatikan situasi ini, ada seorang muslim yang pandai memasak berhasrat mahu menambahkan bekalan akhiratnya, tapi dia kadang-kadang berasa malas untuk mendirikan solat sunat dan melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain. Dia boleh mencari alternatif lain untuk beribadah. Sebagai contoh, kerana dia gemar memasak, dia boleh menjadikan memasak itu satu ibadah. Ini adalah benar dengan syarat dia niat memasak kerana Allah, memasak dari sumber dan makanan yang halal dan kemudian adalah lebih baik jika dia menjamu keluarganya atau kawan-kawannya untuk makan bersama. Lihatlah keuntungan yang diperolehi lelaki yang gemar memasak ini. Keuntungan di dunia dan di akhirat; di dunia dia dapat memuaskan hobinya yang suka memasak(kemudian memuaskan tuntutan ruhnya dengan menjamu orang ramai makan) dan di akhirat dia bakal mendapat ganjaran pahala atas amalnya itu, InsyaAllah. Mudahnya Islam!
Inilah yang perlu difikirkan oleh masyarakat Islam kini. Islam itu mudah dan sempurna. Jika anda bosan dan tidak tahu apa yang hendak dibuat, jom kita ibadah! Ada orang yang suka bersolat sunat, maka bersolatlah. Ada yang gemar membaca Al-Quran, maka bacalah Al-Quran. dan demikian juga dengan ibadah-ibadah khusus yang lain di mana ada individu muslim tertentu yang menggemarinya. Tetapi sebagai manusia yang lemah tanpa petunjuk Allah, kita mungkin boleh terasa penat atau kurang berkeinginan untuk melakukan ibadah khusus tersebut, ataupun keadaan tidak mengizinkan untuk kita melakukannya, (kerana tiada tempat solat, Al-Quran tiada di sisi dan lain-lain masalah) maka ibadah sebenarnya masih boleh dilakukan, iaitu dengan melakukan hal-hal keduniaan yang tidak bercanggah dengan syarak selain memberi manfaat. Marilah kita memanfaatkan masa kita di dunia ini untuk mengabdi sedaya mungkin kepada Allah melalui beribadah kepadaNya!
Percayalah, perasaan kenikmatan dan kepuasan setelah melakukan amal kebajikan(maksud saya, ibadah) itu amatlah indah, kadang-kadang sehingga terasa ingin melakukannya sekali lagi. Betapa nikmatnya rasa hati setelah membantu ayah membasuh kereta, dan betapa seronoknya rasa hati setelah membantu mak menyapu sampah, membersihkan bilik dan lain-lain. Ini semua adalah ibadah jika diniatkan kerana Allah.
Adalah sangat merosakkan jika kita cenderung untuk memuaskan nafsu dunia kita, dengan nikmatnya yang sementara sahaja, melalui perbuatan-perbuatan yang melalaikan diri sendiri. Segala hal duniawi yang tidak memberi manfaat dan menyeronokkan diri, tidaklah dianggap sebagai suatu ibadah(tak masuk akal langsung kalau memuaskan nafsu duniawi yang bathil itu satu ibadah!). Perbuatan sebegini hanya membuang masa kita di dunia yang fana ini. Ia mendatangkan keseronokan di dunia yang memperdaya tetapi di akhirat hal-hal semacam inilah yang akan merugikan kita di saat tibanya hari penghisaban. Tika itulah umat manusia yang suka berseronok di dunia akan menyesal kerana mensia-siakan masa mereka semasa hidup di dunia. Namun segala-galanya sudah terlambat, tiada lagi peluang kedua. Nau’zubillahi min zalik.
Marilah kita beralih untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik yang akan menerangi hati kita, yakni ibadah(yang begitu luas skopnya). Segala jenis ibadah pun, tidak kiralah ibadah khusus mahupun ibadah umum, akan mendatangkan kelazatan dan keseronokan kepada pelakunya jika dia menghayatinya dengan setulus hati. Malah, amalan ini bakal dibalas oleh Allah di akhirat kelak jika kena dengan caranya, yakni sesuai dengan syariat Islam. Marilah kita didik nafsu kita sehingga ia berkeinginan untuk melakukan amal-amal soleh, yang akan menarik kita sehingga ke pintu syurga. InsyaAllah.
Masih kebosanan? Apa lagi, jom ibadah!